Wednesday, December 30, 2009

rezeki~

aiza.
teringin benar satu benda ni.
tapi katanya belum mampu.

kata aku, tak apa. nanti ada lah rezeki kau tu.
kata aku lagi, cuba baca status aku.
[status ym. aku tak ada 'mukabuku'.]

"dan Dia lah yang memberikanya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya"

kata dia, amin..

kata dia lagi, oke. rezeki jumpa rm3300 tepi jalan.

aku balas,
tepi jalan?

dia jawab, ya lah. tak terlintas maa...
lagi kata dia, oke oke. dalam kereta.

aku marah, woih! dengan usaha!

dia kata, oh usaha.

oke oke, kata dia lagi. bonus silap masuk pada 28.1.2010

amin.

aku.
dah tak tahu nak balas macam mana lagi.
amin kan juga saja lah~
tapi.
aku pun untung juga nanti.

Tuesday, December 29, 2009

koir~

izzat ajak tengok koir.
aku setuju. teruja sungguh. lebih lebih lagi katanya koir tersebut adalah koir kebangsaan.

koir.
aku akan terbayang beberapa baris manusia di atas pentas. lelaki dan perempuan di baris berasingan. mencontohi kumpulan nasyid aku fikir. kemudian pakai baju ala ala boria tanpa ropol dan renda. atau kot yang smart habis dan berdiri tegak dengan bahu mengiring.

tapi aku salah.
mereka tak pakai baju ala ala boria tanpa ropol dan renda.
mereka tak pakai kot smart pun.
juga tak berdiri tegak dengan bahu mengiring. [malah bergerak aktif atas pentas.]
itu klise.
[kalau untuk konsert dirgahayu tuanku, mungkin lah begitu aku fikir.]

cuma.
ketika babak mereka mahu masuk ke pentas, aku kerut dahi sedikit.
sebab terasa seperti menonton sketsa budak budak sekolah untuk majlis penyampaian hadiah atau acara talentime. juga buat aku terfikir majlis makan malam pra graduan.

sekali lagi aku silap.
tak patut nilaikan luaran.
suara mereka memang bagus. [kalau tak syafinaz dah tendang awal awal lah]
kurang cekap menari tu bukan masalah besar. mungkin mereka bukan lahir untuk menari.
aku juga. bukan lahir untuk menari. apatah lagi menyanyi.
hurm~


dengan tiket rm10 bertempat di dewan tunku abdul rahman matic, aku rasa ianya berbaloi. terima kasih kepada izzat yang membawa kami.

banyak juga gubahan lagu yang menarik. tapi aku paling suka 'if love has wings'. dan baru tahu komposer asal adalah franz liszt.


perhatian:
1. dan tiba tiba saja aku mahu dengar 'strangers in the night' digubah untuk koir
2. ya. aku lah mamat yang tersalah orang tu. mahu bergambar dengan pemain piano tapi tersalah orang. dan ya. aku masih menanggung malu yang serius sehingga kini.

Monday, December 28, 2009

silap~

hari tu.
che ayien cakap pada aku, nenek orang masuk hospital. ni tak tahu lagi nak balik kampung ke tak.


kata aku, balik saja lah.
kemudian aku diam. aku takut salah cakap.


dulu,
oleh kerana kebosanan dan sudah letih buat tutorial, aku hantar sms lucu lucu dan konon konon comel kepada kawan kawan.
rupa rupanya, ayah ruby baru meninggal dan masing masing balas mengatakan mereka ada di rumah ruby.
merah padam juga muka aku.

dulu,
aku dapat tahu teman lelaki mid meninggal kerana lemas.
aku telefon dia dan tanya, mid. kau biar betul ni mid. aku tanya dengan nada serius aku fikir.
dan dia jawab, betul lah! kau ingat perkara mati mati ni boleh buat main main ke?
aduh! pedih juga telinga. tapi salah sendiri. rasakan!

maka.
bila che ayien kata neneknya masuk hospital kena stroke, aku tak jadi cakap yang bukan bukan. kadang kadang mulut aku ni terlepas cakap juga yang bukan bukan tak kena tempat.

sebelum keluar lemah dari bilik aku dia kata, mesti emak tengah sedih sekarang ni.
aku langsung hilang kata kata. teringat pada opah yang masuk hospital. tapi aku sebagai cucu durhaka, tak pergi jenguk pun. orang lain semua balik kampung. tapi aku tak.
astaghfirullah~

Friday, December 25, 2009

bulu~

abang aziz duduk di atas road kerb. abang mike sebelah abang aziz.
aku dan che ayien juga bersusun di atas road kerb.
masing masing tunggu clerk of work.

abang aziz dan abang mike borak borak berdua.
aku dan che ayien borak borak berdua.

tapi.
suara abang mike lagi kuat. kami kalah. lalu dengar saja mereka borak borak.



kata abang mike, jangan cakap macam tu. nanti betul betul tak ada duit. cakap lah ada duit, tapi tak sebanyak orang lain. [atau bank misalnya]

kata abang aziz, erm. betul juga tu. tapi sekarang belanja anak sekolah semua mahal. seluar pun nak seluar panjang. zaman aku dulu, masa old skool, pakai seluar pendek saja. sampai tingkatan tiga pun seluar pendek

kata abang mike, ha'ah. aku pun kena pakai seluar pendek juga. seksi nampak paha. pakai stoking panjang sampai bawah lutut.

kata abang aziz, aku pakai seluar pendek ni, sampai tingkatan tiga, bulu semua nampak lah. lepas tu perempuan tengok. syok lah~



sampai bahagian ni. aku dan che ayien dah tak tahan gelak.
boleh tak, habiskan cakap 'bulu' tu kepada 'bulu kaki'?!

Wednesday, December 23, 2009

ejek~

naik site tengok kontraktor buat kerja - hati tak senang.
balik ofis mengadap komputer - serba tak kena.
capai mug nak buat milo dengan susu pekat - rasa tak keruan.



adakah.
mainan perasaan.
ataukah.
hidup aku tanpa redhaNya.
tak mungkin Dia jadikan hidup aku sebagai jenaka.
tak mungkin!


selalunya.
pada akhirnya hati aku akan ejek semula, ah! kau ni mengada ngada tahi kuda!
kalah orang bercinta!

Tuesday, December 22, 2009

c.i.n.t.a~

jika memang kita tak punya apa apa.
tak akan ada perasaan takut kehilangan sesuatu.

jadi.
perlukah mencari.
jika kita takut akan kehilangan.
juga jika kita tahu.
akan rasa sakit setelah kehilangan.













aku.
tetap akan cari!

Sunday, December 20, 2009

tenaga~

tempoh hari.
pulang dari tempat kerja.

melewati padang berdekatan rumah pangsa minangkabau.

budak budak remaja main bola sepak. anak anak kecil main basikal. ada yang main kejar kejar.

aku. tengok saja.
aku. letih. baru pulang dari tempat kerja.

badan sudah tak bermaya. aku rasa seperti tenaga sudah mula dihakis usia. seperti ianya adalah raksasa yang berumah dalam diri aku yang menyerap tenaga aku. parasit. ya! parasit raksasa. adakah usia itu parasit?

tapi aku juga sedar kesan usia terhadap manusia. cuma enggan terima.
rupanya aku bukan muda lagi. [tapi tidak lah tua sangat]
aku patut. dari dahulu lagi aku patut bersedia untuk hari hari begini.

alangkah seronok nya waktu muda.
ada tenaga dan badan yang cergas. berlari dengan stamina. aktif.
aku cemburu dengan orang muda yang bertenaga.

muda.
ya. muda.
ini lah salah satu daripada lima perkara yang selalu aku tidak endahkan.

Friday, December 18, 2009

bergilir~

semalam.

babak satu.
selepas perlawanan akhir bola sepak sukan sea. seorang wartawan stesen tv menemuramah penyokong pasukan bola sepak tempatan.
katanya antara lain, kepada pengkritik bola sepak, penyokong pasukan luar; kembali lah ke pangkal jalan.

aku kata, kau pun duduk menghadap skrin tengok bola tak ingat maghrib, lagi nak nasihat 'kembali ke pangkal jalan'.

cik kapitalis kata, eh! mana tahu. kot kot dia orang gilir gilir sembahyang maghrib. macam masa perang~

senyap.
aku pandang cik kapitalis.
kami pecah ketawa.


kelakar lah kalau dia orang nak gilir gilir solat. doa awal dan akhir tahun tak mahu cerita lah...

oke lah. berfikiran positif lah~


babak dua.
cik artis balik rumah dari mengaji di rumah cik besah. kami kerut dahi. tengok jam dinding.

kata cik kapitalis, apa pasal sekejap sangat mengaji ni? dia ni mengaji ke tak ni?

aku syak. dia potong giliran. tak mahu terlepas berita terkini dari padang bola negara orang.
aku terbayang. muka bengis dia halau orang yang datang awal sambil berkata, kalau kau tak nak kena belasah. baik kau bagi aku dulu.

[ketawa]

Thursday, December 17, 2009

hijrah~

kalaupun tidak dapat sempurna.

aku harap.
esok.
aku dapat jadi insan yang lebih baik.

Tuesday, December 15, 2009

benci II~

aku benci bila bella berseluar kuning menari dengan hulla hoop.

aku benci bila bella ikat dua rambut panjangnya.

aku benci bila bella terlupa baca bismillah masa mengaji.


aku benci bila bella terjenguk jenguk kawan kawan di luar rumah masa mengaji.

aku benci bila bella menari nari sambil nyanyi lagu ala ala hindustan.

aku benci bila bella malu malu tersilap ingatkan lelaki itu budak budak.

aku benci bila bella teriak teriak ketika direbut ibu dan ibu angkatnya.


dan yang paling aku benci adalah apabila bouncer itu halang aku mahu beramah mesra bersama bella!


aku memang tak puas hati betul dengan pakcik tu. bukan ramai sangat pun yang beratur lagi kat belakang tu. lagipun dia orang nak jumpa remy, bukan bella. [sangat confident!]

Monday, December 14, 2009

cindian~

ganesh ketuk pintu. mungkin mahu berborak lagi hingga larut malam.
yalah. bukan senang mahu jumpa orang dari negara sendiri di bumi orang. lagi pula dia sudah beberapa bulan tidak dapat teman berbual yang sama pemikiran. er..aku agak saja.

tapi aku tolak dengan cara baik. kerana esok perlu bangun awal dan bertolak ke destinasi seterusnya lebih awal. sudahlah seharian merayap entah ke mana. letih. dan juga mengantuk.

ganesh ini. walaupun berpangkat agak tinggi tapi masih melayan orang bawahan dengan baik. dari perbualan yang singkat, aku kagum dengan nya. pengalaman dan cara dia melihat serta berfikir. unik dan menarik.

seperkara lagi tentang ganesh.
dia cindian. dengan mata sepet cina, kulit sawo matang melayu dan tutur kata dengan pekat lidah india, aku kadang kadang jadi pelik. [walaupun tahu dia kacukan dua bangsa, aku masih rasa pelik. unik mungkin lebih elok.]

aku tanya,
do you speak chinese..err.. i mean mandarin.
dia senyum. angguk.

aku tanya lagi,
how about tamil?
dia senyum lagi. angguk lagi.


aku tak sambung tanya. aku nganga saja. terkebil kebil.
lalu dia kata,
you think i'm cool. huh?
sambil kenyit mata. dan tepuk bahu aku.

aku angguk.
kagum~

Saturday, December 12, 2009

mereka~

dengan remaja lelaki yang kau nampak seakan liar dan terbiar atau seakan kurang kasih sayang ibubapa, jangan kau hina. mereka mungkin kasar. mereka mungkin nakal. tapi biar nakal asalkan tidak kurang ajar. mereka yang sebegini, selalunya akan jadi kurang ajar jika kau pun kurang ajar.

jangan lah adakan jurang antara-dua-darjat. mereka sebenarnya bukanlah teruk sangat.

kau tahu?
orang orang seperti mereka lah yang selalu menolong orang orang seperti aku. walau, sekali sekala aku dengar secara tak sengaja rungutan mereka terhadap orang yang pandang serong pada mereka.

kau tahu?
orang orang seperti mereka lah yang menjaga aku dari mereka yang bertopengkan kebaikan dan suka membuli tanpa dikesan.

mereka lah yang beria ia mahu tolong aku di terminal satu seremban ketika pertama kali pulang ke rumah dari asrama waktu cuti hujung minggu.

mereka lah yang selamatkan aku dari jadi mangsa molest pak guard yang kaki tempang.

mereka lah yang sanggup ganti aku kena rotan walaupun sama sama punya kerja dan jaga imej baik aku depan warden.

mereka lah yang rajin nasihat dan ingatkan aku solat sambil kata 'kami masuk neraka tak apa. kau orang baik. tak boleh masuk neraka.' dan aku cuma ketawa.

mereka lah yang boleh diharap. dan rajin buat kerja jika disuruh atau tanpa disuruh. budak budak konon konon bijak tak boleh diusik. duduk dengan kroni saja.

mereka sebenarnya tak ada lah jahat mana. cuma nakal budak budak saja.

Friday, December 11, 2009

syukur~

sambil duduk di beranda. menghadap ke arah matahari yang sedang terbenam.
dengan rokok ditangan yang tinggal separuh.
dan. kopi bali yang masih belum terusik.



eh?
ini bukan aku. ini berangan saja.
aku perokok sekunder. dan minum kopi hanya sekali sekala. atau sekadar hormat tuan rumah yang tak pernah ada teh di rumahnya.

sebetulnya.
aku sedang iri dengan mereka yang bekerja di negeri selangor. punya lah seronok bercuti. kerja cuma empat hari setiap minggu pada bulan ini.

aku.
enam hari.
oh! minggu lepas ambil cuti tahunan. jadi tak dikira.
ya. aku perlu kerja enam hari. dari jam lapan pagi hingga lima petang. itu pun jika lima petang yang tidak sibuk.

namun.
aku bersyukur. sebagai opis boi, aku bukan lagi pekerja kontrak kilang di sungei way. yang mana, aku perlu kerja dari jam tujuh pagi hingga tujuh malam [atau sebaliknya jika tukar shift dan ini temasuk o.t] sekalipun waktu itu cuti umum. gaji agak lebat. tapi macam tiada kehidupan.
sekarang ini, boleh juga aku keluar tonton wayang dengan cik kapitalis. atau keluar minum minum dengan kawan kawan. atau berpoya poya dengan lolly. atau tidur hingga berat kepala di hari minggu yang tiada apa aktiviti mahu dibuat.

ya mugi!
sila bersyukur~

Thursday, December 10, 2009

bingkisan~

sedikit bingkisan dari bali...




Tuesday, December 8, 2009

matang~

selepas belanja kami makan sup daging, air avocado berperisa durian dan mangga berperisa coklat, kata faizal william [kalau betul ini ejaan namanya] pada aku,

'go and travel my friend. just like what quran said. then you'll see what exactly life's offering you to grow up'

kata kata itu dan nasihatnya sepanjang malam yang singkat itu membuatkan aku membuka mata dan berkata pada diri, 'oh~ begini rupanya kehidupan. ya! sangat jelek!'
lalu aku juga teringat pada kata kata yang aku selalu ucapkan pada rakan rakan yang melangkah ke usia baru.
'grow up, don't just grow old'
kali ini, kata kata itu membawa erti lain pada aku. rupanya rupanya aku masih belum tahu apa itu 'kematangan'.

banyak juga dia bercerita. tentang bali.

mungkin aku akan ceritakan kembali kemudian.

perhatian : penerbangan kami pada jam enam pagi. pukul tiga pagi nanti akan bergerak dari hotel. mungkin tidak tidur malam ini.

Thursday, December 3, 2009

lari~

hari ini.

ym.

mugi : [menguap]
mugi : hai, bi~

ruby : yuhuu~ [senyum]

mugi : kau tengah sibuk ke tak ni?

ruby : ermm...biasa biasa saja. kenapa?

mugi : saja nak kacau kau.
mugi : mengantuk. aku lari dari meeting. kejap nanti aku masuklah semula. buat muka konon konon baru lepas keluar tandas.

ruby : [gelak]

.

.

.

.

.

selepas entah berapa puluh minit.

mugi : eh? aku dah nak masuk meeting semula. macam lama sangat pula aku masuk tandas.

ruby : ok.

*****
bila aku sampai.
mesyuarat sudah habis.

kalau mesyuarat yang agendanya. bentangkan masalah baru dan tangguhkan masalah lama. memang aku akan suka buat begitu.

Wednesday, December 2, 2009

plot~

aku.


aku telah bersangka buruk terhadap teman aku. yang tak patut patut saja yang cepat terlintas dalam kepala aku ni.

lalu aku 'pukul' diri sendiri sebagai pengajaran.

dan kata nas, berfikiran suci....berfikiran suci....[seperti sinopsis...err..aku tahu salah. tapi lupa pula apa perkataan yang bunyinya seperti sinopsis dan hipotesis itu.]


iyalah.

tiba tiba saja otak aku mencipta satu plot yang tragedi tentang teman aku itu. err...tak berapa tragedi pun~

plot dimana seorang lelaki samseng yang berjaya menghasut seorang lelaki tua tak sedar diri supaya mengahwinkan anak tirinya dengan lelaki samseng itu. lalu lelaki samseng itu cuba memujuk lelaki tua itu agar anak tirinya tidak bergaul dengan siapa siapa termasuklah kawan rapat anak tirinya itu sendiri. plot berkembang sehingga konflik antara kawan rapat yang tahu komplot jahat lelaki samseng itu dengan anak tiri lelaki tua itu.

[keluh]

ya. mungkin agak klise. tapi.
tak elok buruk sangka~

setiap orang ada masalah dan rahsia sendiri.
dan. ada hadnya untuk ambil tahu atau ambil berat tentang orang lain.

perhatian : teman aku [kononnya] ialah anak tiri lelaki tua tak sedar diri yang bakal berkahwin dengan lelaki samseng penipu itu.
oh ya! lelaki samseng penipu yang bakal berkahwin dengan anak tiri lelaki tua tak sedar diri itu pun teman aku juga.

Tuesday, December 1, 2009

resah~

aku sedang rungsing dan resah.

bukan apa apa.
cuma.

runsing fikirkan alasan untuk minta pengesahan cuti dari enchek pengawas.
resah fikirkan rancangan jika enchek bos tak mahu luluskan.

kerja swasta pun ada birokrasi juga.
ofis-boi juga terkesan dengan birokrasi juga.

aku bukan apa.
hujung hujung tahun ni, mood cuti sekolah lebih kuat menguasai diri. kononnya itu adalah lumrah alam sebelum melangkah ke tahun baru dengan resolusi baru.

kononnya lah~